1 lagi kluster baharu di Sabah, 5 positif

Kuala Lumpur: Satu lagi kluster baharu di Tongod, Sandakan direkodkan di Sabah dan sudah menjangkiti lima individu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster yang dikenali sebagai Kluster Kuarters itu dikenal pasti hasil saringan dijalankan di sekitar daerah itu.

Menurutnya, ia susulan saringan seorang petugas kesihatan yang didapati positif ujian saringan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) pada 4 September lalu.

“Beliau disaring sebagai saringan rujukan ke hospital. Namun, ujian pengesahan Covid-19 ke atas beliau (rt-PCR) didapati negatif.

“Saringan di sekitar Tongod yang bermula pada 6 September lalu membabitkan masyarakat setempat termasuk petugas Klinik Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini lima kes positif Covid-19 (kes ke-10,253 hingga ke-10,257) dan tidak bergejala, namun mereka sudah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan.

Selain itu, beliau berkata, seramai 112 individu juga sudah disaring dan masih menunggu keputusan.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan pembersihan di Klinik Kesihatan Tongod dan pesakit yang mempunyai temujanji di klinik itu dirujuk ke Klinik Kesihatan berdekatan.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan. Perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Tongod akan bermula semula selepas aktiviti nyah kuman dan pembersihan tamat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19