102,668 maut

LEBIH setengah juta orang di seluruh Amerika Syarikat (AS) dijangkiti wabak Covid-19, lapor agensi berita Anadolu memetik data Johns Hopkins University (JHU).

Bernama melaporkan berdasarkan data dikeluarkan universiti itu, AS mencatatkan 500,399 kes Covid-19 dan 18,693 kematian dengan 28,837 pesakit pulih.

Kematian pertama dilaporkan pada 29 Februari di Washington.

AS negara yang mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi manakala, jumlah kematian paling ramai dilaporkan di Itali iaitu 18,849 orang.

Di seluruh dunia sekurang-kurangnya 1,696,139 kes disahkan, 102,668 kematian dan 376,200 pesakit sembuh.

Mula muncul di Wuhan, China, hanya dalam tempoh empat bulan virus maut itu merebak ke 185 negara dan wilayah.

Berdasarkan data dari laman rasmi JHU, AS, Sepanyol, Itali, Perancis dan Jerman adalah lima negara yang mencatatkan kes tertinggi bagi jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.

Namun, jumlah kematian tertinggi di dunia masih didahului Itali dengan 18,849 diikuti Sepanyol, Perancis, United Kingdom dan AS.

Di AS, angka kematian tertinggi dicatatkan di New York.

Bagi jumlah mangsa pulih, China mencatatkan angka tertinggi setakat ini dengan 77,844 diikuti Sepanyol, Jerman, Iran dan Itali.

Negara yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 paling sikit adalah Yaman dengan satu kes setakat ini, diikuti Timor Leste, Papua New Guinea, Burundi dan Sahara Barat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19