11 kes baharu, 19 pulih Covid-19

SEBANYAK 11 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini, sekali gus merekodkan 9,094 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 11 kes baharu itu, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang semuanya warganegara Malaysia.

Beliau berkata, tiga daripada mereka pulang dari Australia serta masing-masing seorang dari Jepun dan Singapura.

“Enam kes penularan tempatan pula membabitkan lima warganegara dan seorang bukan warganegara yang dikesan menerusi saringan tempat kerja di Selangor.

“Lima kes warganegara itu membabitkan satu kes saringan sebelum pembedahan di Johor, tiga kes daripada Kluster Kurau dan satu kes saringan kemasukan ke wad di Melaka.

“Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 berkurangan kepada 166 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 19 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,803 kes dengan kadar kesembuhan 96.8 peratus.

Beliau berkata, sehingga kini, satu kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 125 kes iaitu 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19