120 kes baharu COVID-19, Singapura catat peningkatan harian tertinggi

Jumlah kumulatif kes positif di Singapura setakat Ahad mencecah 1,309. – Gambar BERNAMA

SINGAPURA: Sebanyak 120 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Ahad, sekali gus merekodkan peningkatan kes harian tertinggi sejak kes pertama dikesan di republik itu pada Januari lalu.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara itu mencecah 1,309.

Daripada jumlah tersebut, empat kes baharu dikesan membabitkan kes import, sementara selebihnya adalah kes jangkitan tempatan.

Pasukan petugas COVID-19 yang terdiri daripada pelbagai kementerian dalam sidang media memaklumkan sejumlah besar kes baharu adalah daripada dua kluster sedia ada iaitu pekerja asrama di Punggol dan  Westlite Toh Guan.

Setakat ini, Punggol dan Westlite Toh Guan masing-masing mencatatkan 22 dan 10 kes baharu.

Susulan kes tersebut, Kementerian Kesihatan Singapura telah mewartakan dua asrama tersebut untuk dikuarantin.

Seramai 19,800 pekerja di dua buah asrama tersebut telah diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari.