1,268 kes baharu Covid-19, dua kematian

Kuala Lumpur: Jangkitan Covid-19 di negara ini mencatatkan 1,268 kes baharu dan dua kematian, pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan kes positif Covid-19 meningkat kepada 336,808 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 14,637 kes.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan 1,083 kes sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 320,925 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 490 kes (38.6 peratus). Daripada jumlah itu, 412 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Sarawak sebanyak 141 kes dan Johor (135 kes). Sebanyak 41 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (27 kes), Kluster Tembok Tapah (7 kes), Kluster Depot Imigresen Semuja (3 kes), Kluster DTI Sepang 2 (3 kes) dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 161 pesakit menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 73 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Katanya, KKM merekodkan dua kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 1,246 kes iaitu 0.37 peratus daripada keseluruhan kes.

“Kes kematian membabitkan dua lelaki warganegara berusia 43 dan 77 tahun di Selangor. Lelaki warga emas itu mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik, dislipidemia, gout dan strok manakala seorang lagi mempunyai penyakit darah tinggi,” katanya.

Beliau berkata, KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19