13 anjing, sampah ‘peneman’ tiga beradik daif

Kuantan: Timbunan sampah, najis dan kencing daripada 13 anjing serta masing-masing seekor musang, burung dan labi-labi serta ikan menjadi ‘peneman’ tiga beradik yang menetap di bahagian atas premis perniagaan di Batu 6, Jalan Gambang di sini.

Dikenali dengan nama keluarga Luoh, tiga kanak-kanak perempuan berusia 12, 10 dan 9 tahun itu dijaga oleh bapa saudara mereka sejak tiga tahun lalu juga hanya tidur di atas lantai bersama haiwan peliharaan mereka kerana ruang berkenaan tiada bilik.

Kisah sedih kehidupan mereka terbongkar selepas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Taman Tas di sini, Yeoh Kok Bin bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang meninjau tempat tinggal mereka, hari ini.

Rombongan yang turut disertai wakil media itu ‘disambut’ timbunan sampah seperti pembungkus makanan, botol minuman dan barangan lusuh bermula dari tangga, selain perlu menunggu hampir 10 minit di luar rumah untuk tiga beradik tersebut mengurung anjing di dalam sangkar, selain terdapat bau kurang menyenangkan sebaik sahaja pintu dibuka.

“Kakak sulung memberitahu mereka akan makan mi segera atau roti selepas pulang dari sekolah, sementara menunggu bapa saudara pulang membawa makanan.

“Jika ada bahan di rumah, kakak yang sulung akan memasak kerana boleh menyediakan juadah mudah,” kata Yeoh kepada wakil media.

Katanya, berdasarkan cerita kakak sulung tiga beradik itu, bapa saudara mereka yang berusia awal 30-an bekerja sebagai juru kimpal di Air Putih di sini, dan akan keluar awal pagi, manakala ayah mereka yang berusia 35 tahun hanya pulang pada hujung minggu kerana bekerja di dalam hutan di Rompin kira-kira 136 kilometer dari sini.

Ibu mereka berusia 34 tahun dikatakan bekerja sama ada di Johor atau Singapura sejak tiga tahun lalu.

“Bapa kanak-kanak itu dikatakan akan meninggalkan wang RM50 kepada setiap anak untuk perbelanjaan harian mereka, manakala bapa saudara akan memberi RM60 kepada kakak sulung bagi membeli mi segera dan bahan memasak serta akan memberi wang tambahan jika wang itu habis,” katanya.

Difahamkan, juga adik-beradik berkenaan membawa pulang anjing jalanan sejak tahun lalu untuk dipelihara.

Menurut Yeoh, tiga beradik berkenaan agak ketinggalan dalam pelajaran kerana sering tidak hadir sekolah dengan rekod pernah ponteng selama dua minggu berturut-turut walaupun sekolah terletak kurang satu kilometer dari rumah mereka.

“Pakaian sekolah mereka juga kotor, tidak bergosok dan ada yang koyak. Pihak sekolah cuba membantu dengan memberi keutamaan kepada mereka untuk menerima bantuan seperti pakaian seragam yang diterima daripada badan bukan kerajaan selain makanan percuma.

“Ada guru yang memberi sumbangan tilam dan bantal apabila melihat keadaan rumah mereka. Kami pernah beberapa kali memanggil penjaga mereka untuk berbincang mengenai nasib kanak-kanak ini, namun usaha itu gagal kerana bapa saudara mereka tidak hadir,” katanya.

Yeoh mendakwa pihaknya pernah mencadangkan tiga beradik itu diletakkan di rumah jagaan kanak-kanak, namun gagal memujuk kanak-kanak tersebut untuk keluar dari rumah kerana tidak mahu berpisah dengan bapa saudara mereka.

Bagaimanapun, selepas tinjauan itu, bapa saudara mereka dikatakan bersetuju untuk menghantar tiga beradik berkenana ke rumah penjagaan sementara bagi membolehkan dia membersihkan rumah dan memasang pembahagi ruangan untuk dijadikan bilik atau mencari rumah lain yang lebih sesuai.