1,348 kes baharu Covid-19, lima kematian [METROTV]

Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu positif Covid-19 hari ini, mencatatkan 1,348 kes menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 98,737 kes dengan jumlah kes aktif 18,279 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 16 kes import dilaporkan, manakala 1,332 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi bagi lapan hari berturut iaitu sebanyak 535 kes diikuti Kuala Lumpur (226 kes) dan Sabah (189 kes).

“Sebanyak 193 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (123 kes) Kluster Tembok Gajah (56 kes), Kluster Kolam Air (8 kes), Kluster Tembok (5 kes) dan Kluster Hala Mutiara,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, terdapat 102 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 44 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 710 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 80,014 kes atau 81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Terdapat lima kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan kesemua warga tempatan berusia antara 40 hingga 71 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik di Selangor, Sabah dan Negeri Sembilan.

“Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 444 kes atau 0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19