15 kes baharu termasuk 11 kes dalam negara [METROTV]

SEBANYAK 15 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini, sekali gus merekodkan 9,129 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 15 kes baharu itu, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang semuanya warganegara Malaysia.

Beliau berkata, empat kes itu membabitkan tiga pelajar pulang dari Indonesia dan seorang pulang dari Yaman.

“Daripada 11 kes penularan di dalam negara, 10 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan satu kes bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu kes saringan sebelum bertolak ke luar negara.

“Sebanyak 10 kes warganegara itu membabitkan satu kes saringan pra pembedahan di Kuala Lumpur dan sembilan kes daripada Kluster Tawar di Kedah.

“Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 berkurangan kepada 183 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,821 kes dengan kadar kesembuhan 96.6 peratus.

Beliau berkata, sehingga kini, dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 125 kes iaitu 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

  • Lagi berita berkaitan Covid-19