154 individu dari penempatan Ulu Rening didakwa [METROTV]

SERAMAI 154 individu dituduh di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, hari ini kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah penempatan di Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, semua mereka dipercayai berkumpul di satu penempatan di kawasan berkenaan.

“Semalam kita menahan 238 individu di penempatan berkenaan, daripada jumlah itu kita mendakwa 154 individu.

“Bakinya adalah kanak-kanak dan bayi yang hanya mengikut keluarga mereka tidak akan didakwa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas berhubung penempatan berkenaan, Fadzil berkata, pihaknya kini sedang memeriksa status tanah dengan Pejabat Tanah Daerah bagi mengenalpasti pemilik tanah berkenaan.

“Kita sedang menjalankan siasatan di pelbagai sudut, apa pun siasatan masih berjalan.

“Setakat ini kita sedang menumpukan dakwaan terhadap mengingkari arahan PKP,” katanya.

POLIS memantau sekumpulan 234 termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi yang ditahan di sebuah kawasan penempatan di Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.
POLIS memantau sekumpulan 234 termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi yang ditahan di sebuah kawasan penempatan di Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.

Semalam, seramai 234 individu termasuk bayi ditahan polis di sebuah kawasan penempatan di Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor.

Kumpulan terdiri daripada lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi yang dipercayai membina khemah di dalam hutan dan atas bukit di kawasan berkenaan.

Polis yang menerima maklumat menjalankan risikan dan menyerbu kawasan itu kira-kira 4 petang.

Serbuan dilakukan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Berita berkaitan

• [UPDATE] Jais siasat cara hidup kumpulan di Ulu Rening

• [UPDATE] Kumpulan DPEIN teroka hutan Ulu Rening

• Polis serbu penempatan di Ulu Rening