157 kali cuba dapat lesen memandu

London: Tiada istilah jemu bagi seorang lelaki yang terus cuba mendapatkan lesen memandu walaupun sudah 157 kali menduduki ujian itu dan masih gagal.

Lelaki Inggeris berusia 42 tahun itu sudah menghabiskan 3,600 Pound Sterling (kira-kira RM19,850) untuk menduduki ujian memandu.

Namun akhirnya, dia dapat menarik nafas lega selepas lulus pada ujian ke-158.

Dalam pada itu, seorang wanita berusia 30-an di tempat kedua individu yang paling banyak menduduki lesen memandu dengan 117 kali.

Agensi Memandu dan Kenderaan Standard memaklumkan setiap kali menduduki ujian, wanita itu perlu membayar 23 Pound Sterling (kira-kira RM126).

Berdasarkan 117 kali menduduki ujian, wanita terbabit secara keseluruhan sudah menghabiskan 2,700 Pound Sterling (RM14,889).

Namun, kadar bayaran ujian itu akan jauh lebih tinggi sekiranya mendaftar menggunakan khidmat pihak ketiga.

Di tempat ketiga pula, seorang wanita berusia 48 tahun yang hanya lulus ujian memandu pada kali ke-94.

Bagi ujian praktikal pula, lelaki berusia 72 tahun menduduki ujian sebanyak 43 kali sebelum berjaya mendapat lesen memandu.

Ia diikuti wanita berusia 47 tahun yang mencuba sebanyak 41 kali.

Pengarah agensi, Mark Tongue berkata, gagal berkali-kali dalam ujian memandu adalah sesuatu yang benar-benar berlaku bagi calon lesen memandu.

Katanya, calon akan terus mencuba walaupun berulang kali gagal ujian berkenaan dan perlu membayar sejumlah wang untuk menduduki semula ujian.

“Mereka perlu diiktiraf kerana daya usaha yang tidak pernah jemu sehingga berjaya mendapat lesen memandu walaupun melalui 157 kali ujian,” katanya.