1,870 kes baharu Covid-19, Johor tertinggi catat 607 kes

Kuala Lumpur: Sebanyak 1,870 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, dengan enam kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 110,485 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 22,562 kes.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 745 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 87,460 kes iaitu 79.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,868 kes penularan dalam negara.

“Buat julung kalinya, Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 607 kes. Daripada jumlah itu, 578 kes daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Peningkatan kes di Johor dipengaruhi oleh kluster berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, Selangor pula merekodkan sebanyak 472 kes dan Sabah 280 kes.

Tambah beliau, sebanyak 402 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara membabitkan Kluster Tembok Choh (374 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (8 kes), Kluster Pagar Bentong (6 kes), Kluster Tembok Mempaga (4 kes), Kluster Tembok (4 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Tembok Gajah (2 kes) serta Kluster Hala Mutiara (1 kes).

Sehingga kini, beliau berkata, terdapat 131 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, enam kematian yang dilaporkan hari ini membabitkan lima warganegara termasuk seorang wanita dan seorang lelaki bukan warganegara.

“Empat kematian dilaporkan di Sabah termasuk wanita dan lelaki bukan warganegara berusia antara 45 hingga 63 tahun.

“Masing-masing dilaporkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan; Hospital Keningau; Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Lahad Datu.

“Dua lagi kematian membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan seorang lelaki berusia 69 tahun di Hospotal Sungai Buloh,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19