2 kematian Covid-19, Selangor catat kes harian tertinggi

Kuala Lumpur: Kes jangkitan baharu Covid-19 terus mencatatkan empat angkat apabila 1,335 kes direkodkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 72,694 kes.

Manakala, katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 11,039 kes selain terdapat pertambahan dua kematian dilaporkan hari ini.

“Pertambahan dua kematian Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 382 kes atau 0.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-381 adalah kes indeks 42,847. Lelaki tempatan berusia 65 tahun mempunyai penyakit darah tinggi dan buah pinggang kronik, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

“Kes kematian ke-382 adalah kes indeks 67,154, wanita tempatan berusia 72 tahun, berpenyakit darah tinggi, dislipidemia dan obesiti, meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,069 kes.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 61,273 kes (84.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Daripada 1,335 kes baharu hari ini pula, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,332 kes.

“Negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 515 kes (38.6 peratus). Daripada jumlah ini, negeri Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 337 kes (65.4 peratus).

“Ini diikuti oleh Negeri Sembilan sebanyak 258 kes (19.3 peratus) dan Sabah sebanyak 250 kes (18.7 peratus),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, 243 kes atau 18.2 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Tembok (92 kes), Kluster PTS Sibuga (7 kes), Kluster Bakti (2 kes) dan Kluster Rumah Merah (1 kes).

“Sehingga kini, terdapat 126 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19