2 maut, 3 parah kereta bertembung

Gua Musang: Dua maut manakala tiga lagi parah apabila dua kereta bertembung di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah jenis Proton Wira dan Proton Satria.

Kemalangan itu menyebabkan, pemandu Proton Wira, Mohammad Zani Zakaria, 32, dan penumpang, Alia Azizan Mohd Razali, 21 maut manakala Atiha Adila Mohd Razali, 26, dilaporkan parah.

Manakala pemandu Proton Satria, Mohamad Baharudin Mohamed, 28, dan penumpangnya, Muhammad Fahmi Ab Malek, 32, juga dilaporkan parah akibat kemalangan berkenaan.

Difahamkan, Alia Azizan dilaporkan maut di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan manakala Mohamamad Zani pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Kemalangan maut itu disahkan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo yang memaklumkan, insiden berkenaan berlaku ketika hujan lebat dan siasatan awal mendapati pemandu Proton Satria memandu secara melulu.

Katanya, kereta Proton Satria dinaiki dua lelaki dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai dilaporkan hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Wira berkenaan.

“Kemalangan menyebabkan kereta Proton Wira dinaiki tiga mangsa terbalik ke dalam longkang dan seorang daripada mereka tersepit.

“Sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta berkenaan,” katanya.

Sik berkata, tiga mangsa yang cedera menerima rawatan di HGM dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke bilik forensik HGM untuk bedah disiasat dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.