2 sahabat maut, 2 kritikal lemas karbon monoksida

Seberang Jaya: Dua rakan maut dipercayai mengalami lemas karbon monoksida selepas ditemui tidak sedarkan diri di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, pagi hari ini.

Dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi dan Ayuni Shazwanie Shabri.

Dua lagi rakan mereka yang juga pasangan kembar Nor Adilah Mohd Safwan and Nor Aqilah dikatakan kritikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisoner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.40 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Menurutnya, empat sahabat itu yang berusia 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam Honda Odyssey yang parkir di kawasan stesen minyak terbabit.

“Sharifah Fariesha disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga yang lain dikejarkan ke HSJ.

“Bagaimanapun, Ayuni Shazwanie menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital,” katanya.

Shafee berkata, berdasarkan maklumat awal mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dari Pulau Jerejak dekat sini.

TERKINI

• Kebocoran ekzos disyaki punca tragedi

• Seorang lagi mangsa keracunan karbon monoksida maut

• Pemandu pening kepala, muntah

• Bapa sendiri jumpa anak, rakan