2,234 kes Covid-19 baharu, tertinggi pernah direkodkan

Kuala Lumpur: Kes jangkitan baharu Covid-19 dalam negara hari ini mencatatkan angka tertinggi apabila merekodkan 2,234 kes baharu, selain tiga kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia ketika ini meningkat kepada 78,499 kes dengan kebolehjangkitan pula 11,867 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 1,112 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 66,236 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 2,229 kes.

“Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu 1,428 kes diikuti Sabah (274 kes) dan Kuala Lumpur (136 kes).

“Manakala Perak (115 kes), Johor (100 kes), Negeri Sembilan (67 kes), Pahang (45 kes), Pulau Pinang (42 kes) dan Kedah (14 kes) dicatatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 396 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19