26 tahun ‘berteman’ jenazah

“APABILA menjaga aib jenazah, segala urusan akan dipermudahkan oleh Allah SWT,” kata Azizi Shafii, 55, Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) di Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Dia yang hampir 26 tahun bertugas sebagai PPK mengakui tidak pernah melalui pengalaman menyeramkan walaupun mengetahui latar belakang jenazah atau sebab kematiannya.

Menurutnya, dia juga sudah biasa bertemankan sekujur tubuh tidak bernyawa di unit berkenaan.

Katanya, sejak ditukarkan ke Unit Forensik pada 1994, bermacam-macam cerita yang menakutkan bermain di fikirannya.

“Mungkin ramai beranggapan mereka yang menguruskan jenazah berhadapan mimpi atau situasi pelik seperti yang kerap dibaca di majalah atau novel seram.

“Bagaimanapun, tidak bagi saya sepanjang 26 tahun bertugas di Unit Forensik, HUSM.

“Sebagai orang Islam kita perlu yakin semua itu kehendak Allah SWT,” katanya.

Azizi berkata, jenazah yang diuruskan terdapat pelbagai kategori dan menjaga aib jenazah yang diuruskan menjadi amanah yang perlu dijaga sebagai petugas.

“Apabila mayat dihantar ke Unit Forensik saya akan membantu doktor serta Penolong Pegawai Perubatan (PPP) untuk melakukan bedah siasat, memandi serta menguruskan jenazah.

“Selain itu, saya juga perlu menguruskan hal-hal lain seperti proses pendaftaran, penyerahan mayat, pengeluaran dokumen, permit kubur dan dokumen lain sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Jika jenazah adalah mangsa kemalangan, beberapa prosedur tertentu perlu dilakukan terlebih dahulu seperti mengambil gambar mangsa serta urusan pentadbiran lain sementara menunggu ketibaan pihak polis bagi pengesahan menjalankan prosedur selanjutnya.

“Sementara, PPP akan mengambil gambar mayat terlebih dahulu sebagai bukti, manakala saya akan membersihkan mayat daripada segala kekotoran sebelum doktor melakukan penelitian untuk mengenalpasti kecederaan dan sekiranya perlu dilakukan bedah siasat, maka pembedahan akan dijalankan,” katanya.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, pada 1997, dia berpeluang mengikuti kursus mengenai cara-cara pengawetan mayat (Embalming) di Kuala Lumpur selama sebulan.

Katanya, banyak pengalaman yang diperoleh sehingga mampu memberi tunjuk ajar kepada orang lain bagi kes yang ingin dihantar melalui penerbangan.

“Contohnya jenazah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang akan dihantar ke Indonesia, ia perlu melalui proses pengawetan untuk memastikan jenazah masih dalam keadaan baik, tidak reput dan tidak berbau ketika tiba di negara dihantar.

“Jenazah yang melalui proses pengawetan biasanya tahan sehingga sebulan,” katanya.