3 hari berjalan balik kampung

SEORANG lelaki sanggup berjalan tiga hari ditemani anjing untuk pulang ke kampung di Kota Marudu sebagai langkah berjaga-jaga ketika wabak Covid-19 melanda negara.

Alixson Mangundok, 34, mengambil langkah itu kerana dia berdepan risiko dijangkiti Covid-19 kerana baru pulang dari Jepun.

Anak jati Kampung Mangaris 2 Kota Marudu itu ketika dihubungi berkata, sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu 25 Mac lalu, dia terus ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk melakukan ujian saringan Covid-19 walaupun tidak mengalami simptom.

Menurutnya, kisahnya membuat saringan turut tular di laman media sosial.

“Disebabkan keputusan belum keluar saya mengambil langkah berjaga-jaga dan memutuskan berjalan untuk pulang ke kampung.

“Saya mula berjalan pada 26 Mac dari Kota Kinabalu dan tiba di Kota Marudu pada 28 Mac. Sebaik tiba di kampung, saya mengasingkan diri dan tinggal di rumah kebun bapa bersama anjing bernama Cico yang menemani saya dari Luyang hingga ke kampung,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia memutuskan untuk tidak menaiki pengangkutan awam atau balik bersama abang yang menjemputnya di lapangan terbang kerana khuatir keselamatan orang lain.

Katanya, dia hanya meminta abangnya membawa beg dan disimpan di rumah kebun tempat dia mengasingkan diri.

Menceritakan pengalamannya, Alixson berkata, sebelum ini dia sudah biasa merantau dan berjalan ke tempat jauh bukan satu masalah baginya.

“Paling tidak boleh lupa ketika melalui kawasan perkuburan Cina di kawasan Luyang.

“Di situ saya jumpa Cico yang setia menemani saya hingga ke Kota Marudu. Jika tidak bersama Cico, mungkin orang menganggap saya orang jahat kerana berjalan pada waktu malam.

“Sepanjang perjalanan, kami berehat dan tidur di mana-mana perhentian bas yang berdekatan,” katanya.

Menurutnya, dia membuat ujian saringan kedua di Hospital Kota Marudu kelmarin.

Mengulas mengenai anjing yang menemaninya, Alixson menganggap anjing itu kiriman Tuhan untuknya.

“Sebelum saya balik ke Malaysia, saya sempat melawat perkuburan Hachiko di Shibuya dan berdoa untuk keselamatan perjalanan saya dan berharap wabak ini cepat hilang.

“Saya menganggap Cico dihantar untuk menjaga saya sepanjang perjalanan saya dari Kota Kinabalu ke kampung halaman saya,” katanya.