3 kematian, 147 kes baharu Covid-19

Kuala Lumpur: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara meningkat mendadak kepada 147 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 10,505 kes setakat ini.

Dalam pada itu, tiga kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian bertambah 133 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 147 kes baharu yang dilaporkan itu, 4 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan bakinya 143 kes penularan tempatan.

Beliau berkata, kes import itu membabitkan tiga warganegara dan seorang bukan warganegara.

Bagi 143 kes penularan tempatan, katanya, sebanyak 119 kes membabitkan warganegara manakala 24 bukan warganegara.

“Kes baharu Covid-19 hari ini meningkat kepada tiga digit dengan Sabah merekodkan 134 kes, Kedah (5) dan Kelantan (1), selain empat kes import.

“Kluster baharu di Sabah, Kluster Udin. Tiga kematian dilaporkan dua di Sabah dan satu di Kedah.,” katanya dalam status dimuat naik di Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ada 39 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 9,602 kes iaitu 91.4 peratus.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 770 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, lapan pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19