3 maut dirempuh kereta

TIGA orang termasuk seorang pejalan kaki maut dirempuh kenderaan dipandu warga emas di Kampung Mambau, Seremban, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian 6 pagi itu dua lagi yang maut adalah suami isteri, masing-masing berusia 44 dan 38 tahun.

“Kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun dari Seremban ke Mambau masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh suami isteri yang menaiki motosikal.

“Selepas pelanggaran itu, kenderaan terbabit yang berpusing turut melanggar seorang pejalan kaki wanita berusia 42 tahun di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu kesemua mangsa iaitu pejalan kaki, penunggang dan pembonceng motosikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.