3 maut tragedi komponen kren gantri terjatuh [MetroTV]

Kuala Lumpur: Tiga maut dan seorang cedera selepas komponen kren di tapak pembinaan laluan lebuh raya terjatuh dan menghempap kereta di Alam Damai, Cheras di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku 8 pagi dan setakat ini dilaporkan empat mangsa terbabit dalam kejadian itu.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya yang juga pemaju bagi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengesahkan kejadian itu berlaku pagi tadi.

“Melalui siasatan awal, tiga pekerja pembinaan warga China meninggal dunia, manakala seorang pengguna jalan raya cedera dalam kejadian ini.

“Difahamkan kejadian berlaku apabila salah satu dari komponen kren gantri terjatuh dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, pasukan ‘Emergency Response Team’ SUKE bersama anggota bomba menutup laluan di kedua-dua hala dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan.

Sementara itu, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dua mangsa dikatakan terjatuh dari ketinggian 36 meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Katanya, seorang lagi mangsa masih tersangkut di tapak pembinaan, manakala seorang lagi mangsa dipercayai pemandu kereta parah dalam kejadian itu.