3 rakyat Malaysia ditahan di New Zealand

Auckland: Tiga rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan cubaan menyeludup rokok ke New Zealand.

NZ Herald melaporkan, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30-an itu akan didakwa di Mahkamah Daerah Auckland atas tuduhan menipu cukai kastam dan aktif dalam kumpulan jenayah terancang.

Menurut laporan itu, waran tangkap dikeluarkan Jabatan Kastam dan polis untuk menggeledah beberapa kediaman di Mt Roskill, Flat Bush dan Albany.

Ketika serbuan, pihak berkuasa turut merampas wang tunai NZ$20,000 (RM55,557) bersama sejumlah rokok.

Pengarah Siasatan Kastam, Bruce Berry berkata, individu yang ditahan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang Malaysia yang beroperasi di New Zealand.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, Kastam menjalankan siasatan membabitkan sindiket Malaysia yang menunjukkan suspek sering dihantar ke New Zealand untuk menyeludup dan mengedar rokok berkenaan.

“Sindiket ini kerap menggunakan syarikat tidak aktif untuk menjalankan operasi mereka,” katanya.

Menurutnya, tiga kapal kargo yang membawa rokok pelbagai jenis dari Malaysia dirampas dalam tempoh enam minggu ini.

Katanya, kapal kargo yang memuatkan rokok seludup sejumlah 2.39 juta dipintas awal bulan lalu, disembunyikan di dalam bahan binaan untuk mengelakkan pembayaran duti serta cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak NZ$2.95 juta (RM8.19 juta).

Berry berkata, akhir bulan lalu kapal kargo yang membawa muatan rokok seludup sejumlah 2.31 juta disembunyikan dengan cara sama untuk mengelakkan pembayaran duti dan GST NZ$2.85 (RM7.91 juta).

“Rokok dieksport dari Malaysia menjadi ‘game changer’ kerana pembungkusan khas, cara ia disembunyikan dan jumlah penghantaran yang tinggi.

“Inilah yang dipantau oleh rakan sejawat kami di Australia, semuanya didorong dengan sikap ketamakan dan keuntungan. Sebelum ini, kastam memantau rokok berjenama dieksport dari China,” katanya.

Dalam perkembangan sama, NZ Herald turut melaporkan lebih ramai individu akan ditahan dalam serbuan rokok seludup di sempadan yang membabitkan jumlah 2.2 juta dan cubaan untuk mengelak cukai eksais sebanyak NZ$2.72 juta (RM7.55 juta).

Penemuan itu adalah rampasan tertinggi kastam bagi rokok yang diimport secara haram.