4 beradik ditahan bawa lari jenazah bapa, enggan benarkan ujian Covid-19

Lahad Datu: Empat beradik ditahan polis selepas bertindak melarikan jenazah dalam kejadian di Hospital Lahad Datu, di sini, 8.30 malam tadi.

Keempat-empat beradik berusia 26 hingga 31 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian selepas enggan membenarkan pihak hospital menjalankan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pengurusan wabak Covid -19 terhadap jenazah bapa mereka.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, sebelum meninggal dunia, lelaki berusia 58 tahun terbabit dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan dan diletakkan di bawah kategori ‘Patient-Under-Investigation’ (PUI).

Beliau berkata, mengikut kepada rekod kesihatan, lelaki terbabit mempunyai sejarah sakit otak dan pernah diserang angin ahmar.

“Ketika di hospital, pasukan perubatan sempat memberikan pertolongan cemas pernafasan (CPR) selama 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia.

“Petugas perubatan kemudiannya memberi penerangan kepada ahli keluarga berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis wabak Covid-19 dan keperluan menjalani ujian saringan bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad. FOTO ihsan polis
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad. FOTO ihsan polis

Rohan berkata, jenazah berkenaan perlu disimpan di bilik mayat Jabatan Forensik sehingga keputusan ujian covid-19 diterima.

Bagaimanapun, katanya, waris enggan meninggalkan jenazah di hospital dan terus bertindak menolak jenazah keluar dari khemah zon PUI sebelum dibawa balik ke rumah mereka.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis melakukan serbuan di rumah keluarga berkenaan di Kampung Panji, di sini.

“Dalam serbuan itu, polis menahan empat suspek membabitkan seorang wanita dan tiga lelaki pada 11.30 malam.

“Jenazah berkenaan turut ditemui pasukan serbuan di ruang tamu di rumah perkampungan atas air berkenaan,” katanya.

Rohan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara selama dua tahun atas kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.