4 penyamun ditembak mati terbabit 50 kes

Sungai Buloh: Empat penjenayah dipercayai menyamun rumah di Rawang yang ditembak mati, hari ini selepas melarikan diri terbabit dalam lebih 50 kes samun bertopeng di Selangor sejak awal tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian samun di Taman Pelangi Rawang itu pada 12.10 tengah hari sebelum pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membuat pemerhatian dan terserempak dengan kereta Perodua Axia dinaiki suspek pada 1 tengah hari di sekitar Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, ketika ingin ditahan pemandu kereta enggan memberi kerjasama dan memecut menyebabkan polis terpaksa mengejar mereka.

“Malah suspek turut melanggar penghantar makanan wanita yang menunggang motosikal sebelum diseret dan digilis beberapa meter.

“Selepas tidak boleh bergerak, suspek kemudian mengundur kereta menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan apabila seorang suspek turut keluar dari kereta bersenjatakan parang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi kejadian di Sungai Buloh arah ke Kepong, di sini, hari ini.

ANGGOTA polis menjalankan siasatan empat penjenayah dipercayai menyamun rumah di Rawang yang ditembak mati ketika amelarikan diri. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA polis menjalankan siasatan empat penjenayah dipercayai menyamun rumah di Rawang yang ditembak mati ketika amelarikan diri. FOTO Aizuddin Saad

Arjunaidi berkata, tembakan turut terpaksa dilepaskan bagi menyelamatkan penunggang motosikal terbabit sebelum berjaya menumpaskan mereka yang berusia 20-an.

“Semakan mendapati kumpulan ini memang dikehendaki polis kerana terbabit lebih 50 kes samun bertopeng sejak awal tahun ini.

“Dua daripada suspek mempunyai rekod orang dikehendaki kerana lari dari sekatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya.

LOKASI empat penjenayah  ditembak mati ketika melarikan diri. FOTO Aizuddin Saad
LOKASI empat penjenayah ditembak mati ketika melarikan diri. FOTO Aizuddin Saad

Beliau berkata, semakan juga mendapati kereta yang digunakan itu ada rekod samun di Petaling Jaya.

“Modus operandi mereka akan menyamun rumah yang tidak menutup pintu pagar dengan memakai topeng atau topi keledar dan bersenjatakan parang.

“Senjata parang turut ditemui di dalam kereta suspek dan polis sedang menyiasat saki baki kumpulan ini,” katanya.

Sementara itu, penghantar makanan yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.