4,029 kes baharu, Covid-19 makin ‘menggila’

Kuala Lumpur: Angka kes positif Covid-19 kian ‘menggila’ apabila merekodkan kes harian tertinggi dengan 4,029 kes, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 155,095 kes.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 37,126 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah sebanyak 4,021 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 2,711 kes membabitkan warga negara manakala 1,310 kes adalah bukan warga negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sehingga kini terdapat 205 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, terdapat pertambahan lapan kes kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 594 kes.

“Enam daripada pesakit meninggal dunia adalah lelaki manakala bakinya wanita berusia antara 40 hingga 78 tahun,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19