4,094 kes baharu Covid-19, 10 kematian hari ini

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 4,094 kes baharu positif Covid-19, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu dalam negara bertambah kepada 198,208 kes dengan kebolehjangkitan 43,192 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 4,086 kes penularan tempatan, manakala lapan lagi kes import.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,577 kes (38.5 peratus). Daripada jumlah itu, sebanyak 1,262 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ia diikuti Johor sebanyak 717 kes (17.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 678 kes (16.6 peratus).

“Sebanyak 27 kes (0.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara membabitkan Kluster Tembok Mempaga (11 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (5 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (2 kes), Kluster DTI Sepang 2 (2 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (2 kes) dan Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 3,281 kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 154,299 kes.

Menurutnya, sehingga kini 303 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 118 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat pertambahan 10 kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia 717 kes atau 0.36 peratus daripada keseluruhan kes.

“Kes kematian pada hari ini dilaporkan di Selangor (3), Sabah (3), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing satu kes di Kedah serta Sarawak.

“Sembilan kes membabitkan warganegara iaitu enam lelaki dan tiga wanita serta seorang lelaki bukan warganegara berusia antara 22 hingga 89 tahun,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19