5,032 kes jangkitan harian di Filipina

MANILA: Manila mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung yang ketat selepas Filipina mencatatkan 173,000 kes jangkitan termasuk 2,795 kematian.

Negara itu turut melaporkan peningkatan tertinggi 5,032 kes jangkitan harian Ahad lalu, menjadikannya negara kedua paling terjejas di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Sehubungan itu, sektor perubatan Filipina menggesa kerajaan melaksanakan semula perintah berkurung kerana kes jangkitan meningkat secara mendadak dan ketara selepas perintah berkurung sebelum ini ditamatkan 1 Jun lalu.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, meluluskan arahan meletakkan Metro Manila dan wilayah Laguna, Cavite, Rizal serta Bulacan di bawah perintah berkurung bersyarat.

Jurucakap Duterte, Harry Roque memberitahu pemberita, premis perniagaan tertentu ditutup dan pengangkutan awam dihentikan di Manila.

Katanya, kerajaan tempatan turut melaksanakan sekatan dari jam 8 malam hingga 5 pagi dalam tempoh ini.

Duterte mengeluarkan arahan perintah berkurung selepas 80 pertubuhan mewakili 80,000 doktor dan sejuta jururawat menggesa langkah kawalan lebih ketat diperkenalkan berikutan kegagalan membendung penularan virus itu di Filipina.

“Saya dengar rintihan anda, jangan hilang harapan kerana kami tahu anda keletihan,” katanya dalam ucapan disiarkan di televisyen lewat petang semalam.

Beliau juga meluluskan pengambilan 10,000 profesional perubatan bagi memperkukuhkan sektor kesihatan negara itu selain menambah insentif serta manfaat kepada mereka yang terbabit dalam rawatan pesakit Covid-19.

Pada masa sama, Duterte mengakui wujud unsur rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan tempatan sehingga program bantuan kepada 23 juta keluarga miskin terjejas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19