8 kes import, 2 tempatan

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 10 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu 9,267 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes baharu yang dilaporkan berkaitan penularan tempatan manakala lapan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, tiga kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan lima warga asing.

“Perincian kes import adalah tiga kes dari Jepun yang dilaporkan di Sarawak, tiga kes dari Indonesia yang dilaporkan di Selangor dan Kuala Lumpur serta masing-masing satu kes dari Republik Maldives dan Mexico yang dilaporkan di Kuala Lumpur.

“Dua kes penularan dalam negara pula membabitkan warganegara daripada Kluster Tawar di Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 10 kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,9595 kes iaitu 96.7 peratus.

Katanya, setakat ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 183 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sembilan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19