9 jarum tercucuk di kepala

Taipei: Seorang penumpang bas di Taiwan mengejutkan netizen selepas gambar kepalanya yang dicucuk jarum tersebar di media sosial.

Dalam gambar yang tular itu, terdapat sembilan jarum tercucuk di kepalanya dan individu berkenaan dipercayai sedang menjalani rawatan akupunktur.

Asia News Network melaporkan seorang individu memuat naik status di Facebook dan membangkitkan persoalan apakah penumpang berkenaan adalah Illumi Zoldyk.

Illumi Zoldyk ialah watak dalam komik Jepun, Hunter X Hunter yang terkenal kerana terdapat banyak pin di rambutnya.

Walaupun jelas bahawa wanita yang berada di dalam bas itu menjalani prosedur akupunktur, ramai yang bimbang kemungkinan risiko yang bakal dihadapi individu terbabit.

“Bagaimana jika (seseorang) memukul kepalanya,” tanya seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi memuji wanita itu kerana menggunakan waktunya dengan bijak dengan melakukan dua perkara dalam masa sama.

Seorang lagi netizen mendakwa dia pernah melakukan perkara sama sebelumnya.

“Saya pernah mengunjungi doktor akupunktur yang berkongsi kisah bahawa seorang pesakitnya pulang ke rumah untuk memasak makan malam dengan jarum yang masih ada dan kembali untuk mengeluarkan jarum itu selepas selesai makan malam,” katanya.

Di kebanyakan negara, kaedah akupunktur menjadi pilihan untuk mereka yang gemarkan rawatan alternatif terutama bagi melancarkan pengaliran darah dan sistem tubuh badan.