Abadi bahagia

GENAP setahun menyambut ulang tahun perkahwinan, pelakon jelita Nelydia Senrose tidak menyangka begitu pantas waktu berlalu.

Nelydia meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan suami, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid yang begitu memahami dan menyayanginya.

Nelydia dan Hafez mendirikan rumah tangga pada 6 April tahun lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Pejam celik pejam celik sudah setahun kami bergelar suami isteri. Dalam tempoh setahun ini menjadi ruang kepada kami memperbaiki kelemahan diri sebagai suami isteri.

“Kami lebih kenal hati budi masing-masing dan tanggungjawab. Setiap apa yang kami lalui bersama diabadikan dengan satu rasa yang tak terungkap.

“Sepanjang bergelar suami isteri ini kami sempat berbulan madu ke beberapa negara, ia menjadi kenangan terindah. Saya mengharapkan kebahagiaan kekal dan terus erat,” katanya.

Menurut Nelydia, walaupun sudah memegang status sebagai isteri, Hafez tidak pernah menghalang kerjaya lakonannya.

“Saya beruntung dapat suami yang sentiasa menyokong apa saja minat dan perkara yang saya nak lakukan. Dia pasti akan berada di sisi dan memberikan tunjuk ajar.

“Sehingga kini dia tidak pernah melarang saya untuk terus aktif berlakon, malah mengalakkan saya untuk mengejar segala impian yang ingin saya kecapi. Bagi Hafez, asalkan apa yang saya nak buat itu boleh membahagiakan dan sihat, dia tidak melarang. Sebagai isteri saya tahu batas selain perlu menjaga diri supaya tidak menghancurkan kepercayaannya. Saya kena tahu status yang perlu dibawa sekarang,” katanya.

NELYDIA dan Hafez disatukan pada 6 April tahun lalu.
NELYDIA dan Hafez disatukan pada 6 April tahun lalu.

Sabar menanti zuriat

Nelydia menyerahkan soal zuriat kepada takdir dan tidak menjadikan perkara itu sebagai satu tekanan.

Baginya, cepat atau lambat, dia terima dengan hati yang terbuka.

“Saya berserah pada kurniaan Allah SWT. Jujurnya, pasangan suami isteri mana yang tidak menantikan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga. Saya dan suami sangat mengharapkan zuriat.

“Cuma, kami tidak mahu terburu-buru. Kami menjalani kehidupan rumah tangga seperti biasa tanpa rasa tertekan.

“Tidak dinafikan kami berdua suka dengan kanak-kanak, jadi sudah tentu mengharapkan cahaya mata secepat mungkin, tapi belum ada rezeki,” katanya.

PKP beri ruang habiskan masa berdua

Siapa sangka, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi ruang kepada Nelydia menikmati kehidupan berdua selepas penggambaran ditunda.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Nik Sen ini mengakui bimbang dengan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini..

“Kita sama-sama doakan semoga musibah ini segera berakhir. Saya akui takut membaca berita dan laporan peningkatan kes setiap hari. Saya pasti seluruh dunia mahukan virus ini dimatikan dan kita kembali dengan kehidupan sedia kala,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan aktiviti seni, Nelydia berkata, dia sepatutnya sudah menjalani penggambaran drama bersiri bergandingan dengan Saharul Ridzwan.

“Namun, penggambaran ditangguhkan, jadi saya hanya duduk di rumah. Setiap apa yang berlaku tentu ada hikmahnya. Jadi, patuhi arahan kerajaan dalam menangani pandemik ini,” katanya.