Abadi memori ‘mengayat’

KONSEP penceritaan kembali detik pertemuan pasangan sebelum mereka bernikah menjadikan jurugambar, Budiman Amin Sharif, 27, tidak menang tangan menerima tempahan bakal pengantin.

“Saya jadikan detik mereka bertemu buat kali pertama sebelum menjalin hubungan lebih serius sebagai konsep utama gambar diambil.

“Ia menarik perhatian banyak pasangan yang mahukan gambar praperkahwinan dan konsep gambar ini menjadikan mereka seolah-olah kembali ke masa lampau,” katanya.

Menurut Budiman, pada mulanya, dia hanya memuat naik gambar praperkahwinan pasangan penjawat awam ke laman Facebook miliknya sebelum ia tular dan dikongsi hampir 10,000 pengikut.

“Apabila ia tular, saya menerima sehingga 600 aplikasi WhatsApp untuk pertanyaan serta tempahan,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Budiman yang mengenakan bayaran serendah RM500, banyak tawaran terpaksa ditolak dengan baik kerana dia sendiri sudah ‘penuh ditempah’ sehingga Disember ini.

Budiman yang bekerja tetap sebagai penghantar barangan berkata, berkaitan gambar yang tular itu, ia mengisahkan pertemuan pasangan yang bertugas sebagai anggota polis dan jururawat.

“Konsepnya berkisar kepada anggota polis menahan seorang wanita berpakaian seragam jururawat kononnya untuk menyerahkan notis saman, tetapi tujuan sebenarnya adalah untuk berkenalan.

“Gambar juga menunjukkan anggota polis itu menulis nombor telefon dan namanya di atas kertas sebelum beredar dengan harapan dapat berhubung kembali dengan wanita itu,” katanya.

Mengulas berkaitan idea, Budiman berkata, dia sendiri yang menyusun jalan cerita berkenaan dan mempersembahkannya dalam bentuk gambar.

“Pada awalnya, pasangan itu meminta untuk bergambar di Kubu St John, Melaka dan bukannya di lokasi seperti dalam gambar itu.

“Namun, selepas saya memberitahu idea dan menunjukkan gambar lokasi itu, mereka bersetuju bergambar di situ,” katanya.

Menurut Budiman, selepas gambar itu tular, pasangan berkenaan menghubunginya dan mengucapkan terima kasih di atas hasil serta kualiti gambar pra perkahwinan terbabit.

“Mereka beritahu saya konsep yang diambil dalam gambar itu mendapat pujian daripada keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Bercerita lanjut, Budiman memaklumkan yang dia bukan jurugambar profesional.

“Saya bekerja tetap sebagai penghantar dokumen atau barangan dan baru setahun berjinak-jinak dalam dunia fotografi untuk menambah pendapatan.

“Bagi menajamkan kemahiran fotografi, saya banyak belajar daripada rakan selain Internet,” katanya yang berasal dari Kampung Bertam Ulu, Melaka.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, keinginan meningkatkan pendapatan keluarga dijadikan motivasi untuknya melakukan dua kerja.

“Ayah sudah tidak bekerja manakala ibu pula berniaga kecil-kecilan. Adik masih bersekolah dan kerana itu saya mahu membantu menyara mereka.

“Hasil keuntungan bayaran perkhidmatan fotografi ini saya beri kepada ibu bapa,” katanya.

Menurut Budiman, dia meminati bidang berkenaan sejak bertahun lalu namun memendamnya kerana kekurangan modal untuk membeli kamera serta peralatannya.

“Tahun lalu, saya pinjam RM5,000 daripada rakan sebagai modal membeli kamera dan komputer riba.

“Syukur, pada awal Januari ini, semua hutang itu sudah habis dibayar dan kini saya hanya fokus perkhidmatan terbaik,” katanya.