‘Abang kena kerja, orang tengah susah’

“KALAU abang tak kerja, siapa nak kerja hantar makanan? Orang tengah susah nak keluar waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kalau nak mati, kat rumah pun boleh mati.”

Itu kata-kata terakhir pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, Muhammad Zaim Azman, 21, kepada ibunya, Mastura Saman, 52, sebelum terbabit dalam kemalangan di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru Impian menghala ke Meru, semalam.

Kemalangan jam 9.10 pagi itu mengorbankan Muhammad Zaim selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah kereta dipandu wanita berusia 49 tahun.

Mastura berkata, kali terakhir dia bertemu anak ketiga dari enam beradik itu kira-kira sebulan lalu sebelum ke Setia Alam bagi menjaga menantunya yang baru bersalin.

“Arwah cakap perkara itu (siapa nak hantar makanan) pada saya dengan nada bersungguh-sungguh sebelum bertolak ke tempat kerja.

“Masa itu, saya tidak bercakap banyak pada arwah kerana takut ia menjadi doa. Apa yang sempat saya pesan padanya supaya berhati-hati ketika menunggang motosikal dan menggunakan alat perlindungan ketika berurusan dengan orang ramai,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Pasir Panjang, Sekinchan, hari ini.

Menurutnya, dia mendapat panggilan berhubung kejadian itu jam 9.30 pagi daripada rakan sekerja Muhammad Zaim.

“Waktu saya mendapat perkhabaran itu, saya sangka arwah hanya cedera. Namun, apabila rakan memberitahu arwah sudah tiada, lutut terasa lemah dan dunia terasa gelap seketika.

“Allah panggil dia pulang buat selamanya dalam bulan Ramadan. Sebagai ibu, saya reda dengan ketentuan Ilahi walaupun sukar terima hakikat ini,” katanya yang menetap di Desa Mawar, Tanjong Karang.

Sementara itu, bapa Muhammad Zaim, Azman Jaafar, 57, berkata, arwah yang baru saja menyambut hari kelahiran pada 24 April lalu disifatkan sebagai seorang yang penyayang terhadap keluarga selain menjaga barang peribadinya terutama motosikal.

“Arwah menjaga motosikal miliknya dengan cermat dan baik selain kerap menyelenggara berikutan dia sering berulang-alik menghantar makanan pelanggan.

“Kehilangan arwah amat dirasai kerana sifat peribadinya yang mendengar kata orang tua dan cepat menghulurkan bantuan sekiranya keluarga dalam kesusahan,” katanya.

Jenazah Muhammad Zaim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 9, Sekinchan, jam 6 petang semalam.

Dalam pada itu, tular di laman sosial Facebook (FB) gambar puluhan ‘rider’ penghantar makanan menziarahi rumah keluarga Muhammad Zaim dan menemani jenazahnya sehingga ke tanah perkuburan.

Menerusi status dimuat naik pengguna Facebook, dia menasihatkan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan penghantaran supaya tidak berkira dengan caj yang dikenakan dan menganggap ia sebagai sedekah kepada ‘rider’.

Rata-rata netizen melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa Allahyarham dan mendoakan supaya rohnya ditempatkan bersama orang beriman.