Abang ‘Mat Jenazah’ mahu cari saham akhirat

Kuala Lumpur: “Saya lakukannya dengan ikhlas dan berharap ia menjadi bekalan saham di akhirat kelak,” ujar Mohd Amirul Mohd Sani, 22, yang menjadi pemandu van jenazah secara sukarela.

Dia yang turut dikenali dengan panggilan Mat Jenazah mula melakukan tugas itu secara sambila sejak dua bulan lalu.

“Selain itu saya turut menjadi penternak lembu selepas bapanya, Mohd Sani Ismail meninggal dunia akibat kemalangan pada 2017,” katanya.

Biarpun tiada gaji bulanan, Mohd Amirul bersyukur kerana dapat mengisi masanya dengan pekerjaan yang memberi peluang kepadanya membantu waris si mati.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai kelindan. Bagaimanapun saya tidak kekok dengan kerja baru ini kerana kerap menguruskan jenazah sejak berumur 12 tahun lagi.

“Tiada siapa yang mengajak sebaliknya saya sendiri yang berminat untuk membantu orang kampung menggali kubur dan memandikan jenazah apabila ada kematian.

“Tidak timbul rasa takut ketika memandu van jenazah mahupun ketika menguruskannya. Lagipun, saya melakukannya sejak kecil dan rumah saya terletak betul-betul di tepi tanah perkuburan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Amirul berkata, van digunakan itu adalah sumbangan individu perseorangan kepada Masjid Ar-Rahman, Mukim Chiku 3, Gua Musang.

Katanya, perkhidmatan itu diberikan percuma kepada waris yang menetap di sekitar daerah Gua Musang dan memerlukan khidmatnya.

“Perkhidmatan ini percuma dan terbuka kepada semua dengan syarat menetap di daerah Gua Musang.

“Tiada caj dikenakan berikutan adanya sumbangan orang ramai kepada pihak masjid bagi menampung perbelanjaan urusan jenazah ini,” katanya.

Terdahulu, kisah Mohd Amirul dikongsikan menerusi laman Facebook Mr Wan Chai Official hingga mendapat maklum balas positif warganet yang memuji usaha anak muda itu.