Acryl Sani bakal dilantik sebagai Timbalan KPN?

PERSOALAN siapa bakal menggantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor yang akan bersara wajib bakal terjawab esok.

Antara nama disebut-sebut dilantik ke jawatan nombor dua di Bukit Aman itu adalah Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Malah, jemputan media Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Perkep Malaysia juga sudah diedarkan kepada petugas media, hari ini.

Majlis serah terima tugas itu dijadualkan berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur di Cheras, jam 8.30 pagi esok.

Untuk rekod, Acryl Sani berpengalaman luas dalam tugas kepolisan dan pernah menjadi Pengarah di beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Sumber Strategik dan Pengarah Teknologi (StaRT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).