Ada duit dalam sampah

Kuala Lumpur: “Usah pandang sebelah mata dengan duit hasil mengasingkan sampah itulah saya gunakan untuk lepas ‘sesak’ perbelanjaan rumah termasuk membeli susu dan lampin pakai buang anak setiap bulan,” kata Mohd Firdaus Md Noor, 38.

Mohd Firdaus meraih pendapatan sampingan lebih RM250 sebulan hasil amalan mengasingkan sampah di rumahnya sejak 2019.

Peniaga burger dari Georgetown, Pulau Pinang itu berkata, wang berkenaan dapat menambah pendapatannya yang kadangkala tidak menentu.

“Walaupun nilainya tidak seberapa, ia amat membantu dan besar maknanya bagi golongan berpendapatan rendah dan tidak menentu seperti kami ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia menyertai Program Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) untuk dijadikan barangan kitar semula selepas tertarik dengan pendekatan digunakan.

“Dulu pernah terfikir juga benda ini memang boleh buat duit, tetapi saya hanya bermula sejak 2019 selepas mendapat sokongan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang serius menggalakkan masyarakat menyertai program ini.

ANTARA sampah yang boleh diasingkan untuk dikitar semula dalam Program Pengasingan Sisa Pepejal di Punca yang diperkenalkan SWCorp
ANTARA sampah yang boleh diasingkan untuk dikitar semula dalam Program Pengasingan Sisa Pepejal di Punca yang diperkenalkan SWCorp

“Bagi saya program ini bagus walaupun dalam rumah saja kita boleh jana pendapatan sampingan dan paling penting ia memupuk amalan menjaga kebersihan dalam kalangan penduduk.

“Misalnya keadaan tempat tinggal saya dulu kotor dan tidak terurus dengan sampah, kini semakin bersih dan tersusun apabila ramai penduduk mula ada kesedaran kepentingan mengasingkan SAS di rumah masing-masing,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, setiap dua minggu sekali dia akan menghantar barangan yang dikumpul untuk ditimbang sebelum ditukarkan dengan wang tunai.

“Kita tidak rugi apapun daripada dibiarkan semak dalam rumah lebih baik asingkan plastik, kotak, aluminium, besi dan barangan elektrik atau elektronik yang tidak digunakan lagi itu.

“Selalunya dua minggu sekali saya akan hantar timbang kepada SWCorp dan anggaran sebulan pendapatan saya peroleh hasil kutipan mengasingkan SAS lebih RM250,” katanya.