Ada ‘geng kartel’ cuba jatuhkan KPN [METROTV]

Johor Bahru: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan terdapat ‘geng kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cuba menjatuhkannya namun beliau tidak akan membenarkan PDRM digunakan mana-mana pihak.

Malah, pendedahannya terhadap cubaan kelompok kecil membabitkan pegawai muda itu dibuat supaya ia tidak menjadi barah dalam pasukan.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai jijik dan berbahaya selain perlu ditangani dengan pendedahan berani.

“Saya hebahkan perkara ini kerana ia berpotensi menjadi kanser. Saya tidak boleh berdiam diri.

“Niat saya mahu berhentikan perkara ini supaya semua anak buah saya tahu bahawa budaya pasukan kecil ini wujudkan kluster atau koloni dengan cita-cita satu hari nanti menguasai badan tertinggi PDRM ini. Pada masa itu, mereka berbuat apa saja mengikut kehendak mereka adalah suatu yang jijik dan bahaya.

“Belum sampai kena buat laporan polis, saya kena dedahkan, saya ada bukti. Kalau kita perap nanti (mereka) jadi lebih berani. Saya mahu menyedarkan mereka jangan buat macam ini, kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi pertama ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

ABDUL Hamid ketika sidang media lawatan rasmi ke IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ABDUL Hamid ketika sidang media lawatan rasmi ke IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Tegas Abdul Hamid, sebagai Ketua Polis Negara, beliau tidak mempunyai koloni atau orang-orang tertentu dalam pentadbirannya.

“Ini orang Ketua Polis Negara, ini orang Timbalan Ketua Polis Negara, ini orang pengarah. Saya tidak mahu wujud perkara dan keadaan seperti itu dalam pasukan. Ia akan menghancurkan dan menyebabkan pasukan berpecah.

“Kartel ini ada selera sendiri satu hari naik pangkat ini semua kawan-kawan, boleh memerintah negara ini. Ada pembabitan orang luar yang punyai rekod tidak baik cuba nak mengeruhkan lagi keadaan dan cuba nak jatuhkan saya.

“Tidak sampai hendak saya membuat laporan polis berhubung isu ini. Saya mahu 130,000 warga polis tahu bahawa perbuatan itu tidak baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, beliau sudah tahu perkara ini tahun lalu.

“Saya cek (periksa) dan pegawai lain juga tahu kewujudannya. Lupakan mimpi kotor dan tidak jujur ini. Saya tidak gentar dan bukan penakut,” katanya.