Adik ‘kantoikan’ abang curi pakaian dalam

Medan: Seorang duda berkelakuan pelik apabila sanggup mencuri ribuan pakaian dalam wanita milik jirannya di Desa Sei Bamban di daerah Serdang Bedagai, dekat sini, sejak setahun lalu.

Penahanannya pada 13 Ogos lalu menjawab tanda tanya penduduk kampung berkenaan yang sering kehilangan pakaian berkenaan.

Ketua Kampungnya, Ofyar Azwar berkata, perbuatan pelik lelaki itu terbongkar selepas adik perempuan lelaki itu mengemas biliknya dan menemui guni berisi pakaian dalam wanita.

Menurutnya, selama ini, bilik lelaki itu tidak pernah dimasuki sesiapa pun.

Katanya, ia menyebabkan ‘rahsia’ yang disimpan rapi itu tidak diketahui ahli keluarganya.

“Setiap hari, lelaki itu akan mengemas biliknya, namun pada pagi kejadian, adik perempuannya masuk untuk membantu mengemas bilik abangnya itu.

“Ketika mengemas, adiknya pelik apabila menemui guni besar disimpan di dalam bilik itu. Selepas dibuka, ternyata guni itu berisi pakaian dalam wanita,” katanya seperti dilaporkan portal Kompas.

Beliau berkata, terkejut dengan penemuan itu, si adik kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk mengeluarkan guni berkenaan di belakang rumahnya.

Katanya, ketika guni itu dibuka, terdapat ribuan pakaian dalam wanita.

Ia menimbulkan tanda tanya tujuan lelaki itu menyimpan pakaian berkenaan dalam kuantiti yang banyak.

“Ketika dikeluarkan dari guni ternyata ada ribuan pakaian dalam. Jika mahu dijual ia sudah pasti tidak akan disimpan dalam kuantiti sebanyak ini.

“Lebih pelik pakaian dalam yang ditemui sudah digunting pada bahagian tertentu,” katanya. – Agensi