ADUN Chini meninggal dunia

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur dipercayai akibat serangan jantung, kira-kira 3 pagi, hari ini.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook rasminya.

“Mendapat perkhabaran berita sedih pemergian seorang sahabat dan rakan seperjuangan, Datuk Seri Abu Bakar Harun, yang kembali ke rahmatullah awal pagi ini.

“Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Salam takziah kepada pihak keluarga, semoga tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Abu Bakar pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Peneroka dalam pentadbiran kerajaan Pahang di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, antara 2013 hingga 2018.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Abu Bakar selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi N23 DUN Chini yang disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

DUN Chini berada dalam Parlimen Pekan bersama DUN Pulau Manis, Peramu Jaya dan Bebar.