Adun Jeram umum keluar Bersatu, sertai parti baharu [METROTV]

AHLI Dewan Undangan (Adun) Jeram yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Selangor, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa hari ini.

Turut mengikut langkah beliau ialah 21 ahli jawatankuasa bahagian, ketua cawangan dan majoriti ahli parti itu di Kuala Selangor.

Mohd Shaid berkata, langkah keluar dari Bersatu dilakukan selepas merasakan perjuangan asal parti itu tersasar dari objektif asal penubuhan iaitu melawan sebuah kerajaan kleptokrasi dan menjadikan Bersatu sebagai wadah perjuangan bagi orang Melayu.

“Selaku Adun yang dipilih oleh rakyat di kawasan ini, saya bertanggungjawab dengan mandat dan amanah yang di berikan, justeru saya ingin terus bersama dengan mereka sehingga mereka membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya bersama Jawatankuasa Bahagian, ketua cawangan dan majoriti ahli Bersatu bahagian Kuala Selangor mengambil keputusan untuk keluar dari Bersatu pada hari ini dan menjadi Adun bebas.

“Kami juga akan terus menyokong kepimpinan dan perjuangan yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Muhammad,” katanya pada sidang media khas di Pejabat Bersatu Kuala Selangor, hari ini.

Beliau berkata, 13 cawangan parti itu di Kuala Selangor turut terbubar secara automatik.

Katanya, Adun Klang dijangka akan turut menyertai langkahnya keluar daripada parti itu dan satu sidang media khas akan diadakan petang ini.

Mengulas sama ada beliau akan menyertai parti baharu yang akan diumumkan oleh Dr Mahathir, beliau memaklumkan, sekiranya ada parti itu, beliau akan menyertainya.

“Ada kebarangkalian besar, saya dan ahli Bersatu Kuala Selangor akan menyertai parti baharu itu,” katanya.

Semalam, media melaporkan Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang berasaskan perjuangan membela Melayu.

MOHD Shaid mengumumkan keluar dari Bersatu. FOTO Faiz Anuar
MOHD Shaid mengumumkan keluar dari Bersatu. FOTO Faiz Anuar