AFC tutup rapi ‘talian hayat’

LAPAN tahun pasukan Liga Malaysia (Liga M) mendapat ihsan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bertanding di peringkat Asia dan kini talian hayat terbabit sudah tertutup rapi bermula tahun depan jika masih lagi gagal melakukan penswastaan pasukan.

Ini bermakna, pasukan Liga M yang layak bertanding di peringkat Asia sebelum ini sebenarnya mendapatkan kelonggaran istimewa apabila mereka tampil dengan status sebagai persatuan bola sepak dan bukannya kelab.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John menjelaskan, hanya bermula 2014 Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil sebagai pasukan berstatus kelab untuk bersaing di Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Beliau berkata, negara terakhir melakukan sepenuhnya penswastaan adalah pasukan dari Myanmar yang komited menyelesaikan proses berkenaan pada 2012.

“Jika diikutkan kita sudah memaklumkan kepada semua ahli gabungan berkaitan proses penswastaan pasukan pada 2009 iaitu kira-kira 11 tahun lalu supaya mereka boleh menyelesaikannya secara berperingkat. Ada ahli gabungan lain yang pernah mempersoalkan kenapa pasukan daripada Malaysia mendapat keistimewaan dan perkara ini tidak baik kerana membawa persepsi negatif.

“Untuk makluman, Myanmar tidak mempunyai saingan liga kompetitif dengan pasukan mereka kebanyakannya mewakili agensi kerajaan atau badan beruniform saja, namun berjaya melaksanakan proses berkenaan secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

FAM menetapkan hujung bulan depan tempoh terakhir buat semua pasukan Liga M menswastakan pasukan dan kegagalan bertindak demikian akan menyebabkan pasukan terbabit tidak dibenarkan beraksi di saingan kelab anjuran AFC.

Windsor berkata, penswastaan akan memperbaiki beberapa kelemahan yang melanda pasukan sebelum ini antaranya pengurusan dan masalah kewangan hingga menyebabkan gaji pemain tertunggak.

“AFC tidak lagi akan membantu pasukan yang berstatus persatuan untuk bertanding di peringkat AFC malah mereka perlu memohon berbuat demikian kepada kita jika mahu meneruskan juga hasrat terbabit.

“Penswastaan pasukan adalah antara penanda aras dalam usaha transformasi ke arah lebih baik dalam menyelesaikan beberapa isu yang timbul sebelum ini,” katanya.