Ahli Parlimen Batu ditahan ingkar PKP

POLIS menahan dua lelaki termasuk Ahli Parlimen Batu P Prabakaran kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Sri Murni, Selayang, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, Prabakaran ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 40 tahun kerana melanggar PKP berhampiran kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokasi berkenaan.

“Kami menahan dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 40 tahun itu kerana melanggar PKP berhampiran kawasan PKPD.

“Siasat lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 (Akta 342),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Santhara menafikan dakwaan Prabakaran kononnya beliau ditahan selepas berlaku pertelingkahan antara mereka, semalam.

Katanya, insiden itu bermula apabila Prabakaran secara tiba-tiba masuk ke dalam bilik mesyuarat di Taman Sri Murni.

“Beliau tidak sepatutnya mengganggu mesyuarat sulit yang membincangkan isu keselamatan yang dihadiri 20 individu lain termasuk Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dan Panglima 12 Briged Infantri Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar.

“Ini kerana mesyuarat itu berstatus sulit dan saya memintanya menunggu di luar, namun beliau terus masuk ke dalam bilik berkenaan mempersoalkan mengapa kawasan tertentu dikenakan PKPD secara lantang.

“Apabila beliau mula bercakap dengan Ketua Polis Kuala Lumpur dengan nada tinggi, saya memintanya menunggu di luar sementara saya habiskan mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memanggil Prabakaran masuk semula selepas 15 minit, namun Ahli Parlimen Batu itu tidak berbuat demikian, sebaliknya memilih untuk membuat siaran langsung Facebook di luar bilik mesyuarat dengan memberi maklumat didakwa fitnah dan mengelirukan.

“Secara peribadi saya maafkan dia, namun kesabaran saya ada batasnya. Saya mohon jasa baik yang memuat naik video berkenaan untuk memadam rakaman itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan