Ahmad Faizal umum letak jawatan MB Perak [METROTV]

Ipoh: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak selain barisan Exco kerajaan negeri, hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika mengadap sembah maklum di Istana Kinta, di sini, pada 3 petang tadi.

“Alhamdulillah, saya diperkenankan untuk menghadap Sultan Perak. Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Sultan dan di kesempatan berkenaan saya menyembahkan warkah perletakan jawatan saya sebagai Menteri Besar Perak dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan,” katanya pada sidang media di Laman Seri Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, barisan Exco kerajaan negeri menyampaikan rasa penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri Perak dan kerajaan persekutuan di negeri itu.

AHMAD Faizal umum letak jawatan sebagai Menteri Besar Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam
AHMAD Faizal umum letak jawatan sebagai Menteri Besar Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam

“Pengalaman ini adalah sesuatu yang amat bermakna, penuh dengan pelbagai cabaran. Bagi pihak seluruh pentadbiran kerajaan negeri, saya menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan atau setiap satu perkara yang tidak disenangi.

“Saya telah cuba melakukan yang terbaik dan sebagai manusia biasa yang tidak sempurna dan tentu ada berlaku salah dan silap. Ampun dan maaf dari saya.

“Saya mendoakan agar negeri Perak sentiasa dirahmati Allah SWT, dijauhi dari segala bala dan bencana, dan rakyatnya dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Katanya, perjalanan kehidupan masih jauh dan panjang sekali gus berharap beliau tidak dilupakan.

“Jika terselisih bahu, tersinggung siku, tegur-tegurlah mantan Menteri Besar anda ini kerana tentunya saya menganggap setiap seorang dari anda sebagai saudara saya di dunia dan akhirat.

“Kita akan berjumpa kembali tidak berapa lama lagi. Demi rakyat, kerana Allah,” katanya.