Aina positif kejar impian

KEMBARA seni penyanyi Aina Abdul atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani semakin bersinar apabila dia kini berjaya membuktikan bakat nyanyiannya.

Selama tujuh tahun bertatih mencari peluang membina nama dan mengetengahkan bakatnya dengan penuh kesabaran, Aina, 28, sekarang sudah mampu menarik nafas lega.

Jika pada 2019, dia popular dengan lagu ciptaannya berjudul Sumpah yang menjadi ‘pembuka jalan’ buatnya mula meraih populariti, tahun lalu dia memperkukuhkan pula dengan kehadiran lagu Semalam.

Apa yang menarik, lagu Semalam hasil ciptaan dan lirik Aina dinobatkan sebagai naib juara Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada 14 Mac lalu. Malah, penampilan Aina dan persembahan vokalnya menarik perhatian ramai.

Berbicara perjalanan kerjaya nyanyiannya pada ketika negara masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19 ketika ini, Aina berkata, dia lebih selesa mengambil positif dan teruskan usaha mengejar apa yang diimpikan selama ini.

“Situasi pandemik yang melanda sejak tahun lalu hingga sekarang tidak pernah kita duga. Justeru, kehidupan dan kerjaya perlu diteruskan. Untuk itu, saya bersama-sama pasukan, kami tetap membuat perancangan awal. Ditambah, saya ini seorang yang rumit. Maka, perancangan sangat penting buat saya bagi memastikan apa disasar berjalan lancar. Umpamanya untuk bidang nyanyian ini saya sudah membuat perancangan setahun lebih awal,”katanya.Menurut Aina, dia sudah mempunyai beberapa projek kerja seni yang diatur bagi sepanjang tahun, termasuk lagu-lagu ingin dirakamnya.

Katanya, dia suka cara kerja yang sistematik dan profesional mengikut perancangan dibuat itu.

Baru melancarkan single Sepi hasil ciptaannya dan lirik ditulis Wan Zakaria sekitar sebulan lalu, penyanyi dari Negeri Sembilan ini berkata, dia teruja mahu mengeluarkan lagu itu dalam versi bahasa Korea pula.

AINA makin rancak mengatur perjalanan karier nyanyiannya.
AINA makin rancak mengatur perjalanan karier nyanyiannya.

“Setakat ini, proses rakaman lagu itu ke dalam bahasa Korea sudah siap dibuat. Cuma, saya perlu menyiapkan video muziknya dan selepas itu, bolehlah dilancar. Memang menjadi cara saya, melancarkan lagu dengan video muzik.

“Saya merakamkan lagu Sepi ke dalam bahasa Korea sebagai inspirasi pada lagu ‘cover’ yang saya buat menerusi lagu-lagu tema drama Korea di saluran YouTube sebelum ini dan mendapat sambutan baik,” katanya.

Menurut Aina, dia tidak menyangka kebanyakan peminatnya cukup menyukai pendekatan dibuat dengan menyanyi ‘cover’ lagu-lagu tema drama Korea itu.

Katanya, atas sebab itu dia mengambil inisiatif merakamkan lagu Sepi ke bahasa Korea.

TERUJA, Aina turut merakamkan lagu baharunya, Sepi ke dalam bahasa Korea.
TERUJA, Aina turut merakamkan lagu baharunya, Sepi ke dalam bahasa Korea.

Menurut Aina, dengan usaha dilakukan dia berharap lagu Sepi yang dialih bahasa Korea itu akan diterima baik pendengar muzik masa kini.

Menurut Aina, dia juga sudah memberi yang terbaik dalam suntikan lagu itu.

Fokus lagu raya

Memaklumkan perancangan karier nyanyiannya sudah diatur secara berjadual sehingga hujung tahun ini, Aina berkata, sekarang dia hanya menunggu masa untuk membuat proses rakaman lagu sahaja.

Katanya, minat mendalam pada nyanyian sejak kecil dan sedar tidak mudah untuk dia sampai ke tahap sekarang. Wajar untuknya sentiasa fokus dan komited dalam menghasilkan karya lagu berkualiti.

“Apapun, fokus terkini saya pada penerbitan lagu raya terbaharu tidak lama lagi. Bulan Ramadan pun dah nak menjelma, jadi saya memang rancang nak keluarkan lagu raya setiap tahun.

“Kalau ada rezeki dalam tempoh 10 tahun ini, insya-Allah saya dah boleh keluarkan album kompilasi lagu-lagu istimewa Aidilfitri. Apapun, saya rancang nak lancarkan lagu raya terbaharu pada hari pertama Ramadan nanti,” katanya.

Menurut Aina, projek lagu raya ini sudah mula dilakukannya pada tahun lalu menerusi lagu Syahdu Di Pagi Syawal. Ia hasil ciptaannya bersama penulis lirik, Wan Zakaria.

Selain itu, selepas Aidilfitri pula dia merancang tampil dengan satu single baharu yang melodi dan liriknya lebih ‘catchy’.

Aina berharap, variasi muzik diketengahkan dapat diterima baik dan menghiburkan peminat

muzik tempatan.