Ajal Asmala

Jakarta: Dijemput ajal ketika mahu menyembelih haiwan korban, Jumaat lalu.

Itu pengakhiran mulia seorang tokoh agama di Indonesia yang menjadi bualan ramai.

Kompas.com melaporkan Ustaz Asmala, 52, yang mengetuai penyembelihan haiwan korban di Kampung Kasambilan, Banten tiba-tiba terjatuh dengan tangan masih memegang parang.

Ia menyebabkan haiwan korban tidak sempat disembelih.

Ketua masyarakat di Pontang, Heri Sosiawan berkata, sebelum kejadian Asmala sempat mengimamkan solat sunat Aidiladha di masjid berdekatan.

Katanya, semasa hayatnya, Asmala dikenali sebagai tokoh yang sangat mengambil berat dengan pendidikan agama masyarakat setempat.

“Dia baik, sangat prihatin dengan masyarakat hingga menubuhkan rumah ngaji (pusat tahfiz),” katanya.

Berdasarkan keterangan keluarga, Asmala ada sejarah penyakit jantung.

Sementara itu, Ketua Polis Pontang, Sudibyo Wardoyo mengesahkan kejadian berlaku di depan Majelis Taklim Daar As Sabhil milik tokoh agama itu.

“Ketika mangsa terjatuh, anaknya, Payubi, 30, sempat memberikan bantuan pernafasan kepada ayahnya.

“Dia disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke pusat kesihatan masyarakat,” katanya.