Ajal tersepit di dahan rambutan

“SAYA terdengar bunyi seakan benda jatuh, sebelum terkejut melihat Puiman tersepit di dahan pokok,” kata Yaakob Sidikin, 67, yang melihat kejadian seorang lelaki meninggal dunia akibat tersepit di dahan rambutan di rumahnya di Kampung Bukit Bangkong, Sepang, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Puiman Semin, 54, diupah Yaakob untuk memotong dahan rambutan di hadapan rumahnya.

Bagaimanapun dahan yang dipotong Puiman menghempap lehernya menyebabkan dia tersepit antara dua dahan rambutan.

Yaakob berkata, selepas terdengar bunyi benda jatuh itu, dia keluar melihat apa yang terjadi sebelum mendapati dahan yang dipotong oleh Puiman menggunakan gergaji menghempap lehernya.

“Ini bukanlah kali pertama saya mengupah dia untuk memotong dahan rambutan. Ketika kejadian dia ada membawa seorang rakan yang dikenali sebagai Rahim.

“Semasa dahan berkenaan menghempap Puiman, Rahim ada bersamanya namun dengan kudrat yang ada, kami tidak mampu mengangkat dahan berkenaan.

“Kami meminta tolong jiran dan cuba mengikat tali pada dahan berkenaan supaya ia tidak menekan leher Puiman. Ketika itu jeritan meminta tolong dia kedengaran hanyalah dalam tiga minit sebelum suaranya semakin sayu. Kami sempat mengajar Puiman mengucap syahadah dan dia berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sepang berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada 9.38 pagi tadi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Kita terima laporan ada lelaki yang tersepit di celahan pokok dan kerja membawa turun mangsa dilakukan oleh pihak bomba sebelum dia disahkan meninggal dunia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.