Akhirnya akur dengan pelawaan Ustaz Ebit Lew

“PADA mulanya saya memang menolak pelawaan Ustaz Ebit (Lew), tetapi apabila dipelawa berulang kali tinggal di rumah sewa demi keselesaan anak, saya akur,” kata Megat Noor Asyeqi Megat Hussin, 36.

Menerusi bantuan Ustaz Ebit Lew itu, Megat Noor Asyeqi bersama isteri, Siti Roshamilia Mat Radzi, 32, dan empat anak mereka kini menyewa rumah di Kampung Padang, Pulai di Baling.

Sebelum ini, Megat Noor Asyeqi dan keluarganya hidup dalam keadaan daif di pondok buruk dalam kebun getah di Kampung Air Kembai, Kupang sehingga kisah mereka tular di media sosial.

Megat Noor Asyeqi berkata, Ebit membantunya membayar pendahuluan sewa rumah dan akan membayar bil elektrik serta air untuk keselesaan mereka sekeluarga sementara menunggu rumah baharu siap.

“Malah Ustaz Ebit juga membeli katil, tilam, bantal dan perkakas lain untuk kegunaan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui, hari ini.

EBIT berbual dengan anak Megat Noor Asyeqi. FOTO Ihsan Facebook Ebit Liew
EBIT berbual dengan anak Megat Noor Asyeqi. FOTO Ihsan Facebook Ebit Liew

Menurut penoreh getah itu, dia ingin berdikari dan mahu membina rumah sendiri tetapi kesempitan hidup menyukarkannya sehingga terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menyara empat anaknya, iaitu Puteri Amira Husna, 11, Puteri Aleesya Husna, 8, dan Megat Hanif Mukhriz, 7 dan Puteri Anisa Husna, 4.

Katanya, bebannya untuk membina rumah itu terlerai apabila ditawarkan membina rumah baharu oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kelmarin, malah kini dapat menetap sementara di rumah sewa dengan bantuan Ebit.

“Datuk (Abdul) Azeez bina rumah baharu, manakala Ustaz Ebit bantu cari rumah sewa dan membeli perkakas rumah untuk keselesaan keluarga saya.

“Saya dan keluarga bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang banyak,” katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan juga mendapati kerja membersih dan menolak tapak rumah yang dijanjikan Abdul Azeez itu giat dijalankan di tanah milik bapa Megat Noor Asyeqi di Kampung Air Kembai, Kupang.

KERJA membersih dan menolak tapak untuk pembinaan rumah Megat Noor Asyeqi giat dijalankan di Kampung Air Kembai, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin
KERJA membersih dan menolak tapak untuk pembinaan rumah Megat Noor Asyeqi giat dijalankan di Kampung Air Kembai, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin

Berita berkaitan

• Keluarga daif terpaksa tolak rumah sewa Ustaz Ebit

• 6 beranak huni pondok dapat rumah baharu