Akibat diragut, Salmah ‘terkandas’ lebih 20 tahun di Sibu

Sibu: Kehilangan kad pengenalan diri dan ketiadaan wang selepas diragut ketika berkunjung ke negeri ini menyebabkan seorang wanita, Salmah Adik, yang kini berusia 70 tahun, ‘terkandas’ di sini selama lebih 20 tahun.

Bagaimanapun, usaha Hospital Sibu dan Jabatan Penerangan Sarawak mengesan warisnya selepas warga emas itu dimasukkan ke hospital berkenaan pada 8 Januari lalu, ‘menemukan’ wanita itu dengan keluarganya di Labuan.

“Kami kini sedang mencari jalan untuk membawa dia pulang kerana satu-satunya pintu masuk ke Sarawak hanya melalui Kuching dengan penerbangan dari Kota Kinabalu,” kata anak saudaranya Zamain Ma’in, ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Sibu kini dalam zon merah Covid-19, sementara Labuan pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Menurut Zamain, Salmah adalah adik ayahnya.

Maklumat mengenai Salmah yang dinyatakan sebagai berasal dari Batu Arang, Labuan tular selepas dimuat naik menerusi Facebook Jabatan Penerangan Sarawak.

“Saya turut membantu menularkan maklumat itu memandangkan beliau (Salmah) orang Labuan. Saya tidak sangka beliau adalah ibu saudara saya dan hanya mengetahuinya apabila salah seorang saudara saya memberitahu perkara itu kepada saya,” kata Zamain.

Menurut Zamain, arwah ayahnya tidak pernah bercerita mengenai adik-beradiknya namun sebelum meninggal dunia beberapa tahun lalu arwah sempat berpesan kepadanya agar mencari kesemua mereka.

Susulan itu, katanya, dia berjaya menjejaki tiga bapa saudaranya iaitu Mohd Yunus yang menetap di Kudat serta Yusuf dan Jaafar yang tinggal di Bukit Kalam, Labuan, namun gagal mengesan Salmah.

“Bukan kami tidak cari selama ini tapi gagal. Ada yang kata dia di Miri, ada yang kata di Kuala Lumpur. Terima kasih kepada Jabatan Penerangan Sarawak dan netizen (warganet) yang telah menularkan maklumat tersebut,” katanya dalam nada sebak.

“Saya rasa bukan 20 tahun kami tidak berjumpa dia. Mungkin lebih. Ketika saya masih kecil dia mungkin pernah melihat saya dan anaknya sendiri Noridah Saman sekarang pun sudah berusia 47 tahun,” kata Zamain yang turut gembira kerana berjaya menunaikan hasrat arwah bapanya.

Menurutnya, dia juga dapat bercakap dengan ibu saudaranya yang memberitahu dia dilayan dengan baik di Hospital Sibu.

“Kami kini kesuntukan masa kerana mak cik akan dibenarkan keluar hospital beberapa hari lagi. Jika itu berlaku, kami akan menemui kesukaran untuk mencarinya semula kerana dia tidak mempunyai telefon dan kami juga tidak tahu di mana dia tinggal.

“Saya merayu kepada kerajaan negeri Sarawak mahupun pertubuhan bukan kerajaan di Sibu menempatkan ibu saudaranya di kemudahan tertentu buat sementara waktu agar mudah untuk kami mengambilnya balik selepas urusan dokumentasi dan perkara lain selesai,” katanya.