Aku hantar dengan ‘bonus’

LANCASHIRE: Hari bertuah buat seorang petani apabila dapat mengesan individu yang membuang 421 tayar di kawasan hartanahnya dan memulangkannya semula bersama ‘bonus’.

Stuart Balwin dari Wigan, barat laut England mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak berkenaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan memberi tempoh tiga hari kepada mereka untuk mengutip sisa terbabit.

Namun, pihak itu gagal mengutip tayar terbabit mengikut tempoh diberikan dan Stuart, 56, mengembalikannya semula bersama tambahan tayar ke laman rumah dipercayai pemilik tayar itu.

Dalam satu petikan video dilapor DailyMirror, Stuart bercakap dengan kamera, memberitahu, “Seseorang meletakkan sejumlah tayar ini pada waktu malam di tanah saya.

“Nasib baik kami menjumpai siapa yang ‘terlupa’ sisa ini (tayar), jadi kami mengambilnya dan memulangkan kepada tuan punya di sini. Terima kasih.”

LORI menurunkan sebahagian daripada tayar. FOTO Kennedy News & Media
LORI menurunkan sebahagian daripada tayar. FOTO Kennedy News & Media

Dalam video kedua kelihatan lori dipenuhi tayar mengundur dan menurunkan semua tayar berkenaan di laman rumah pemiliknya.

Sekurang-kurangnya lapan lelaki berada di situ dan mencampakkan tayar ke laman dan Stuart didengar menjerit, “Saya dapat 421 tayar, tetapi ini mungkin lebih lagi.”

Anak perempuan Stuart, Megan, 25, berkata, mereka tidak mahu mencederakan sesiapa atau merosakkan harta benda. Disebabkan itu meletakkan tayar berkenaan di kawasan laman tanpa menyebabkan kerosakan.

“Kami mahu buktikan bahawa anda tidak boleh sesuka hati membuang sisa buangan di mana sahaja. Ia tidak adil,” katanya.