Alhamdulillah, Anum dah mula ke tadika

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama menderita akibat hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak dan lumpuh separuh badan berikutan spina bifida atau kecacatan tulang belakang, Mardhiyah Hanum Mas Hezrin akhirnya dapat merasai pengalaman bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Bapanya, Mas Hezrin Md Salmi, 39, berkata Mardhiyah Hanum, 5, atau lebih mesra dipanggil Anum sendiri yang meluahkan keinginan untuk ke sekolah dan dia serta isteri, Maznah Idzuddin, 38, tidak pernah memaksa.

“Disebabkan keinginan Anum dan menyedari dia perlu menimba ilmu seperti kanak-kain lain, saya dan isteri mencari sekolah tadika sesuai buatnya.

“Memang mencabar dan rasa hampir berputus asa apabila ada beberapa tadika menolak kemasukan Anum selepas saya memberitahu keadaannya.

“Namun, rezeki Anum apabila kami menemui sebuah tadika iaitu Pusat Jagaan Hannah terletak di kawasan perumahan yang sudi menerima Anum sebagai murid pada 4 Januari lalu selepas melihat keadaannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai keadaan Anum pada 30 Oktober 2019.
LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai keadaan Anum pada 30 Oktober 2019.

Mas Hezrin mengakui khuatir jika anak bongsunya itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan pembelajaran di dalam kelas.

Menurutnya, dia ada memaklumkan kepada pihak pengurusan tadika itu untuk menempatkan Anum di kelas berasingan sekiranya mengganggu murid lain.

“Bagaimanapun, maklum balas saya terima amat mengejutkan apabila cikgu memberitahu Anum tidak perlu dipindahkan ke kelas lain kerana cepat memahami apa yang diajar.

“Saya terharu apabila cikgu memuji Anum pandai dan memang nampak perubahannya (Anum) yang teruja untuk bercerita apa dilakukannya di dalam kelas setiap kali pulang dari sekolah.

“Ini bermakna di sebalik kekurangan Anum, ada kelebihannya dan paling membanggakan apabila dia pandai berdikari kerana boleh masuk ke dalam kelas sendiri dengan berkerusi roda tanpa perlu dibantu,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini Anum, Mas Hezrin berkata, kesihatannya anaknya bertambah baik, tetapi masih perlu menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur.

Selain itu, katanya, banyak perubahan positif pada Anum apabila dia semakin banyak berceloteh berbanding dulu.

“Bulan lalu, Anum menjalani pemeriksaan susulan di HUKM dan Jun depan, dia akan menjalani rawatan menerusi mesin pengimbas Imej Resonan Magnetik (MRI) pada bahagian sarafnya.

“Terima kasih kepada semua doktor serta pihak lain yang pernah membantu Anum sejak dulu hingga kini,” katanya.

Pada 30 2019, portal Harian Metro melaporkan kisah Anum yang terpaksa menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada bahagian belakang badan seminggu selepas dilahirkan dan bergantung dengan alat bantuan, ‘Ommaya Shunt’ iaitu sejenis tiub yang berfungsi membawa lebihan air daripada otak secara manual.

Sebulan kemudian, pembedahan VP Shunt pula dilakukan iaitu pemasangan tiub kekal di kepala bagi membolehkan lebihan air mengalir ke perut dan keluar melalui air kencing.

Pembedahan itu bagaimanapun menyebabkan tulang belakang Anum membonjol dan keadaan itu memaksa implan besi digunakan sebagai alternatif membuang bonjolan berkenaan.

Berita berkaitan

• ‘Beratnya dugaanmu Hanum…’