Aliff risik Kedah

SELEPAS kecewa gagal menaja pasukan Kedah pada 2016 lalu, kini pengasas syarikat kosmetik terkenal negara, D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengakui masih berminat untuk bersama pasukan itu.

Namun kali ini bukan lagi sebagai penaja, tetapi bersedia untuk membeli skuad Helang Merah, sekali gus menjadi pemilik penuh pasukan Kedah seperti mana syarat penswastaan yang ditetap oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat semua pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Jelas Aliff yang terkenal dengan tagline Terlajak Laris itu, beliau sentiasa mengikuti rapat perkembangan bola sepak tempatan dan sentiasa menanti peluang untuk terbabit secara aktif.

Katanya, selain Kedah yang juga negeri kelahiran isterinya, beliau juga sedang meneliti pasukan lain dengan kriteria utama adalah mempunyai fans base yang ramai dan berpengaruh.

“Setakat ini saya masih memilih pasukan bola sepak yang paling kuat dan paling berpengaruh. Bagi saya bukan senang untuk memilih sebab orang kata persaingan semakin sengit. Jadi saya tengah tercari-cari jugalah mana yang terbaik.

”Kalau boleh nak (beli) pasukan Kedah. Kalau Johor (Johor Darul Ta’zim) memang tak mampu. Rasanya itu saja yang ada pengaruh sangat kuat,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Pada 2016 lalu, Aliff pernah menggegar arena bola sepak negara terutamanya Liga M apabila hampir menaja pasukan Kedah.

Pada ketika itu, beliau bersetuju untuk mengeluarkan duit poket sendiri dengan nilai tajaan RM30 juta.

Bagaimanapun, pada saat akhir rundingan kedua-dua pihak antara Aliff dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menemui kegagalan apabila syarat yang dikemukakan D’Herbs untuk tajaan bernilai RM30 juta itu tidak dapat ditunaikan Presiden KFA pada waktu itu yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Begitupun, usahawan berjaya itu mengakui tidak pernah berputus asa dan berusaha untuk menunaikan impiannya dengan memimpin sebuah pasukan bola sepak.

Jelasnya lagi, pelaburan dalam sukan paling popular di dunia itu bukan hanya sekadar berkaitan perniagaan, tetapi ia adalah bagaimana menerusi permainan bola sepak itu dapat menyatu padukan masyarakat dan keluarga ketika menonton perlawanan.

“Saya melihat orang kata industri bola sepak ini diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Selain dapat naikkan jenama, paling penting dapat menyatu padukan keluarga dan pernigaaan serta sebagainya,” katanya.

Untuk rekod, tarikh akhir bagi semua pasukan memenuhi syarat penswastaan Liga M adalah pada 30 September ini dengan ketika ini hanya enam pasukan saja baharu melengkapkan syarat itu.

Enam pasukan berkenaan adalah JDT, Sarawak, PJ City FC, ATM, Perlis dan Negeri Sembilan manakala lapan lagi pasukan berada dalam situasi ‘bahaya’ apabila kemungkinan boleh disingkirkan beraksi dalam saingan peringkat amatur atau lebih tepat Liga M3 sekiranya gagal menswastakan pasukan sebelum penghujung bulan depan.

Pasukan berkenaan adalah PDRM, Kuala Lumpur, Perak, Sabah, Pahang, UiTM FC, UKM FC dan Kedah yang masih belum memulakan proses penswastaan.