Along ‘kenyang’ era PKP

Kuala Lumpur: Ketika banyak sektor perniagaan di negara ini berdepan kemungkinan gulung tikar, aktiviti pemberi pinjaman berlesen mahupun haram atau along bagaikan tidak terjejas langsung.

Bukan itu saja, jumlah peminjam yang memohon untuk mendapatkan wang juga meningkat sebanyak 15 kali ganda berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wartawan yang mendapatkan dua pemberi pinjam wang berlesen dan haram di ibu negara dimaklumkan bahawa perniagaan mereka semakin mendapat tempat dengan purata 3,000 peminjam seminggu.

Seorang along yang mahu dikenali sebagai Alai, 30-an berkata, sepanjang PKP, dia menerima banyak permohonan pinjaman menerusi pelbagai medium media sosial seperti Facebook dan panggilan telefon sejak Januari lalu.

Katanya, kebanyakan peminjam terdiri daripada mereka yang terkesan dengan PKP termasuk dibuang kerja dan dipotong gaji.

“Sejak Januari tahun ini, kita terima banyak permohonan. Sangat banyak. Kalau sebelum ini sekitar 150 hingga 200 peminjam setiap minggu, kali ini mencecah sehingga 3,000 permohonan.

“Keadaan jadi berbeza, saya perlu buat tapisan ketat dan menolak banyak permohonan kerana tiada jaminan untuk mendapat bayaran balik,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini.

Sementara itu, pemberi pinjam wang berlesen lain yang mahu dikenali sebagai Robert, 40-an berkata, situasi sama juga berlaku kepada sebahagian besar ceti berlesen sepanjang PKP.

Katanya, dia menerima antara 700 sehingga 800 permohonan mingguan sejak awal tahun lalu.

“Jumlah ini memang tinggi berbanding sebelum ini. Bagaimanapun, kami mengetatkan syarat seperti memerlukan dokumen lengkap untuk pinjaman termasuklah penyata gaji.

“Ini kerana sebelum ini ketika PKP kali pertama, ramai yang tidak mampu membayar semula menyebabkan mereka dikenakan kadar bunga yang tinggi,” katanya.

Kedua-dua along berkenaan mengakui jumlah permohonan dijangka terus meningkat menjelang sambutan Aidilfitri pada Mei depan.

“Setiap kali hari raya (Aidilfitri), mesti ramai yang ingin meminjam. Saya jangkakan kenaikan sekali ganda daripada biasa,” kata Alai yang sudah lebih lima tahun menjadi along.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19